Tuesday 26 March 2013

ayuh amalkan

Tujuh cara cuci hati

SUATU ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.
Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"
Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."
Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:
1 Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.
Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."
Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin."
Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.
2 Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.
3 Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.
4Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.
5Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.
6 Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.
7Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.
Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa."
Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.
lPENULIS ialah pesara guru Yayasan Islam Kelantan.

Monday 25 March 2013

al-fatihah

Dr. Uthman El-Muhammady meninggal dunia


DR. UTHMAN EL-MUHAMMADY
KUALA LUMPUR 26 Mac - Tokoh Maal Hijrah 2005 yang juga pakar dalam bidang pemikiran Islam, Dr. Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam tadi di kediamannya di Persiaran Duta di sini.
Menurut anaknya, Ahmad El-Muhammady, 35, bapanya meninggal dunia disebabkan penyakit jantung yang dihidapi sejak hampir setahun lalu.
Beliau berkata, bapanya sedang membaca di bilik bacaan sebelum ibunya menyedari Allahyarham tidak menunjukkan tindak balas ketika sedang berehat.
Allahyarham meninggalkan balu, Mariam Hussein, 65, serta 12 anak berusia antara 20 hingga 40-an.
Jenazah beliau akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan dijangka dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam UIA hari ini. - UTUSAN

Tuesday 12 March 2013

sukan kita

Malaysia sapu lima emas

FATEHAH cemerlang meraih emas acara pecut wanita di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, semalam.
KUALA LUMPUR - Pelumba senior dan remaja cemerlang pada hari terakhir acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, semalam apabila menggondol lima pingat emas dalam acara pecut dan keirin.
Mengetuai pungutan emas di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi ialah pelumba veteran, Josiah Ng yang membuktikan dirinya masih berbisa selepas meraih dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin walaupun usianya sekarang menjangkau 33 tahun.
Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa juga tidak ketinggalan menyumbang emas buat negara selepas cemerlang dalam acara pecut, namun dia gagal mempertahankan pingat emas acara keirin yang dimenanginya tahun lalu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.
Turut cemerlang ialah pelumba remaja, Muhamad Firdaus Mohd. Zonis yang berjaya mengikut jejak Josiah menyapu bersih emas dalam kedua-dua acara keirin dan pecut.
Lebih manis pelumba kelahiran Selangor itu telah mengumpul keseluruhan tiga emas selepas Khamis lalu dia berjaya muncul juara dalam acara satu kilometer ujian masa.
Menurut Josiah yang menang saingan akhir pecut selepas menewaskan pelumba Iran, Hassanali Varposhti, semuanya seakan berjalan lancar buat kem negara, semalam adalah hari terbaik mereka dan semuanya telah menjalankan tugas dengan profesional serta saling bekerjasama antara satu sama lain.
"Kemenangan yang amat bermakna, sebelum ini saya fikir hanya untuk meraih satu pingat tidak kira apa warna sekali pun dalam kejohanan ini. Bagaimanapun selepas menang satu demi satu perlumbaan dalam acara pecut, saya mula mendapat keyakinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pelumba kelahiran Manila, Filipina itu berkata, perlumbaan paling sukar dalam acara pecut adalah ketika bertemu rakan senegara, Azizulhasni Awang pada peringkat suku akhir kerana kedua-duanya sentiasa bersaing sesama sendiri termasuk ketika dalam latihan.
Dalam perlumbaan akhir keirin, Josiah tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan pelumba Iran, Mahmoud Parash di tempat kedua dan Jun Wun Gu dari Korea Selatan tempat ketiga.
Malah, menceritakan kembali perlumbaan itu dia amat berhati-hati dengan pelumba Iran kerana mempunyai dua wakil dalam saingan akhir Mahmoud dan Mohammad Parash.
"Saya berseorangan sedangkan Iran mempunyai dua pelumba, saya juga memberi fokus kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto kerana dia seperti dijangka akan meluru ke depan lebih awal. Bagaimanapun saya bangkit selepas menduduki kedudukan ketiga untuk memecut melintasi garisan penamat terlebih dahulu," katanya.
Azizulhasni yang gagal melayakkan diri ke saingan akhir hanya menduduki tempat ketujuh, diikuti Edrus Yunos kelapan dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12.
Fatehah yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 500 meter ujian masa tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pelumba China, Shi Jingjing dalam saingan akhir pecut wanita.
Bagaimanapun pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze membalas kembali kekalahannya kepada Fatehah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras tahun lalu dalam acara keirin. Gangsa bagi acara tersebut milik pelumba China, Li Xuemei.
Malaysia meraih keseluruhan tujuh emas, tiga perak dan tujuh gangsa termasuk satu emas yang disumbangkan seorang lagi pelumba remaja Irwandie Lakasek dalam acara scratch lelaki, Khamis lalu.

Berita Luar Negara

Korea Utara ancam musnahkan pulau di Korea Selatan

SEOUL 12 Mac - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un hari ini mengancam untuk memusnahkan sebuah pulau kecil di Korea Selatan ketika ketegangan di semenanjung Korea semakin meningkat.
Dalam lawatannya ke unit artileri sempadan, Jong-un menyatakan Pulau Baengnyeong di Korea Selatan yang menjadi sempadan pertikaian maritim antara kedua-dua negara itu adalah sasaran utama ketika peperangan berlaku.
Lawatan itu dibuat ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan latihan ketenteraan bersama, latihan yang mencetuskan pengumuman pembatalan gencatan senjata Perang Korea dan pakatan perdamaian yang ditandatangani dengan Seoul oleh Pyongyang. - AFP

lahad datu

4 suspek pengganas Sulu ditahan di Kg. Bangau-bangau

PENDUDUK Kampung Bangau-bangau, Pulimah Nasari (tengah), Timah Alipal (kanan) dan Sulga Parangmausal menceritakan kejadian pihak polis menahan beberapa suspek yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas Sulu di kampung itu, di Semporna, Sabah hari ini. - UTUSAN
SEMPORNA 12 Mac - Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bangau-bangau, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, sepasukan polis dari IPD Semporna telah menyerbu sebuah rumah selepas menerima aduan penduduk setempat yang memaklumkan terdapat individu disyaki serpihan anggota kumpulan terbabit.
Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian itu. - UTUSAN